URUS bersama Azraei Muhamad | Sehari Seringgit, Lama-lama Jadi Bukit

Sehari Seringgit, Lama-Lama Jadi Bukit Oleh Azraei Muhamad


Menabung, menabung, menabung. Perkataan yang tidak asing lagi buat mereka dalam kalangan kita yang selalu mendengarnya sejak kecil. Sama ada oleh ibu bapa atau orang sekeliling, kita sering dipesan untuk menabung. Namun, bagi sebahagian yang lain pula, perkataan menabung hanyalah sekadar perkataan. Mungkin faktor persekitaran yang tidak menekankan tabiat ini menjadikan ia bukan budaya dalam kehidupan.


SIMPANAN SECARA PAKSA


Pernah tak anda rasa, setelah membuat pelbagai cara sekalipun, duit tetap tidak cukup dan tiada baki untuk disimpan bila tiba hujung bulan? Kes ini mungkin mustahil untuk dielakkan sekiranya kita memang mempunyai kadar gaji yang agak minimum, namun masih ramai yang berpendapatan tinggi atau sederhana yang tetap berasa sukar untuk menyimpan. Kenapa ini berlaku?


Banyak faktor yang menyumbang kepada situasi ini. Selain tergolong barangkali dalam kategori gaji minimum tadi, kita juga mungkin terperangkap dalam kerangka minda “Kalau ada duit, simpan” yang diajarkan kepada kita sejak kecil. Perkataan ‘kalau’ yang digunakan di sini sebenarnya membawa pengaruh yang besar kepada cara kita berfikir. ‘Kalau ada duit’ memberi bayangan bahawa tidak selalunya kita ada duit. Hakikatnya, kita sentiasa ada duit. Banyak atau sedikit, kehidupan tetap memerlukan wang.


Kitaran hidup ‘belanja dahulu, ada baki baru simpan’ mengajar kita untuk berbelanja sehingga tiada baki yang tinggal. Apabila kita bercakap tentang cukup, hidup ini secara umumnya memang tidak pernah cukup. Apabila kita bergaji RM1,000, kita akan merasakan bahawa gaji RM2,000 nanti barulah kita akan berasa cukup. Namun, ketika gaji naik menjadi RM2,000, kita mula meletakkan angka RM3,000 sebagai gaji yang cukup. Apabila ini berlaku, selamanya kita tidak akan pernah merasa cukup. Bak kata Mahatma Ghandi, “The world is enough for everyone’s need, but not for everyone’s greed.”


Maka langkah pertama yang perlu kita ubah adalah dengan mengubah gaya pemikiran (mindset). Mengubah perkataan ‘kalau’ kepada ‘bila’ adalah permulaan kepada perubahan corak pemikiran baru ini. Berhenti berkata ‘kalau ada duit, simpan’, sebaliknya mulakan dengan berkata ‘bila ada duit, simpan’. Walaupun nampak remeh, perkataan ‘kalau’ ini merujuk kepada kebarangkalian sama ada kita akan ada duit atau tidak, sebaliknya perkataan ‘bila’ lebih merujuk kepada masa.


‘Kalau ada duit, simpan’ bermaksud selepas kita selesai berbelanja, sekiranya masih terdapat baki, maka barulah kita perlu menyimpan. Sebaliknya, ‘bila ada duit, simpan’ bermaksud kita perlu simpan terus sebaik sahaja ada duit. Bakinya barulah dibelanjakan.


Di sinilah datangnya konsep simpanan paksa atau ‘forced saving’. Ini bermaksud, setiap kali kita dapat gaji, upah, atau pendapatan, perkara pertama yang perlu dibuat adalah memaksa diri untuk menyimpan terlebih dahulu sebelum kita berbelanja. Walaupun hal ini agak sukar pada awalnya, tabiat ini lambat-laun akan membiasakan diri kita untuk berdisiplin dan belajar berbelanja di bawah kemampuan kita. Sebaliknya jika kita berbelanja dahulu sebaik sahaja menerima pendapatan, kita akan cenderung untuk berbelanja mengikut kemampuan berbanding berbelanja di bawah kemampuan.


Sebagai contoh, katakanlah kita menerima pendapatan sebanyak RM2,500. Dengan memaksa diri untuk menyimpan 10% (RM250), baki yang tinggal ialah RM2,250. Dari sini, kita akan melaraskan (adjust) perbelanjaan kita mengikut baki RM2,250 yang tinggal, dan bukan lagi mengikut RM2,500 yang diterima. Inilah yang dimaksudkan dengan berbelanja di bawah kemampuan, berbanding mengikut kemampuan. Sebaliknya, jika kita berbelanja dahulu barulah bakinya disimpan, kita akan lebih terarah kepada membelanjakan sepenuhnya RM2,500 yang ada, mengikut kemampuan kita.


TETAPKAN SASARAN


Untuk mengekalkan disiplin dan gaya hidup ini secara berterusan, kita memerlukan motivasi dan pembakar semangat untuk membantu kita beristiqamah dan tidak hanya hangat-hangat tahi ayam sahaja dalam menyimpan. Oleh itu, menetapkan sasaran adalah amat penting untuk membantu kita merancang kewangan sebaiknya. Kereta yang dipandu tanpa hala tuju, tidak akan bergerak maju ke hadapan.


Menetapkan sasaran kewangan (financial target) boleh dilakukan dengan meletakkan jangka masa yang sesuai mengikut matlamat kita, sama ada pendek, sederhana, ataupun panjang. Setiap daripada kita ada matlamat yang berbeza, namun yang sama ialah setiap matlamat ini ada jangka masa yang sesuai untuk dicapai.


Sebagai contoh, untuk seorang graduan yang baru memasuki alam pekerjaan, mungkin bercita-cita sama ada untuk berkahwin atau melancong dalam tempoh beberapa tahun pertama bekerja. Tempoh satu tahun (12 bulan) atau dua tahun (24 bulan) boleh dijadikan jangka masa yang sesuai sebagai garis panduan dalam menetapkan sasaran kewangan boleh capai (achievable).


Dengan gaji permulaan sekitar RM2,500 tadi, menyimpan 10% atau RM250 setiap bulan boleh membantu kita untuk mencapai simpanan RM3,000 dalam tempoh setahun yang pertama, atau RM6,000 dalam tempoh dua tahun. Dengan simpanan RM3,000, ia adalah munasabah untuk dijadikan sasaran matlamat melancong ke luar negara dalam tempoh satu tahun pertama bekerja. Jangka masa pendek dalam menetapkan sasaran biasanya dianggarkan dalam tempoh satu hingga dua tahun.


Untuk matlamat berkahwin, sasaran realistik seperti simpanan RM10,000 agak sukar untuk dicapai dalam masa yang singkat melainkan kita bekerja keras. Dengan simpanan 10% pendapatan, kita mungkin perlu meletakkan jangka masa sederhana sekitar tiga hingga lima tahun untuk kita capai matlamat simpanan tersebut. Ada juga yang meletakkan jangka masa sederhana mereka sekitar lima hingga tujuh tahun.


Matlamat yang lebih besar pula seperti memiliki rumah memerlukan simpanan yang lebih besar untuk dijadikan cengkeram (deposit), contohnya. Sebuah rumah yang berharga RM300,000 akan memerlukan sekurang-kurangnya simpanan RM30,000 (10%) untuk permulaan. Kalau diikutkan kiraan asal tadi, menyimpan 10% setiap bulan akan membantu kita untuk menyimpan RM3,000 dalam masa setahun. Maka, kita mungkin memerlukan sekitar 10 tahun untuk mencapai simpanan RM30,000. Ini bersesuaian dengan sasaran jangka masa panjang—biasanya untuk tempoh 10 hingga 30 tahun.


Setiap orang juga mungkin mempunyai tempoh masa yang berbeza mengikut gaya hidup masing-masing. Ada yang meletakkan sasaran jangka masa pendek mereka sekitar 12 bulan, satu hingga tiga tahun untuk jangka masa sederhana, dan lima tahun untuk jangka masa panjang. Yang lebih utama adalah untuk faham kemampuan dan keperluan sendiri dalam meletakkan sasaran untuk mencapai matlamat kewangan anda.


PERATURAN 30% (30% RULE)


Selain menetapkan jangka masa yang sesuai, menaikkan kadar simpanan bulanan juga membantu untuk kita mencapai matlamat kita dengan lebih cepat. Menyimpan 10% daripada pendapatan RM2,500 sebulan (RM250) membantu kita untuk menyimpan sebanyak RM3,000 dalam masa 12 bulan atau satu tahun. Meningkatkan kadar simpanan kepada 30% daripada pendapatan (RM750) akan membantu kita untuk mencapai matlamat dalam jangka masa yang lebih singkat, iaitu empat bulan untuk simpanan RM3,000.


Bunyi lebih menarik? Namun, ia datang dengan harga yang tinggi. Ini kerana, 30% simpanan bermaksud lebih banyak pengorbanan yang perlu kita lakukan untuk berbelanja dengan 70% sahaja baki yang tinggal. 30% Rule atau Peraturan 30% ini adalah antara formula simpanan yang ideal yang boleh kita ikut untuk mencapai matlamat kewangan yang terbaik. Ia boleh dipecahkan seperti berikut:


10% - Simpanan/Pelaburan (ASB, Tabung Haji, Deposit Tetap)

10% - Perlindungan (Takaful/Insurans)

10% - Persaraan (KWSP/Amanah Saham/Skim Persaraan Swasta)


Dan sekiranya kita mampu berbelanja dengan lebih rendah, maka kita akan mempunyai peluang untuk menyimpan dan menabung dengan lebih besar—sehingga 50% daripada pendapatan bulanan! Mampukah anda untuk berbelanja pada kadar RM1,250 sahaja setiap bulan?


Sebab itu, penting untuk kita faham bahawa kalau kita nak mencapai sesuatu kejayaan, pengorbanan haruslah dilakukan. Dalam usaha kita untuk menabung dan menyimpan, pengorbanan dalam berbelanja perlu kita utamakan.


SERINGGIT SEHARI


Sebelum kita nak menyimpan 50% atau 30% pendapatan setiap bulan, kita perlulah belajar untuk menyimpan 10% terlebih dahulu. Sukar untuk menyimpan rm250 setiap bulan kerana tidak biasa? Jangan risau. Ia bukan pengakhiran. Kalau tak mampu untuk bermula dengan RM250 setiap bulan, mulakan dengan serendah RM100 dahulu. Buat, buat, dan buat, sampai kita mampu membiasakan diri, kemudian barulah kita naikkan sedikit demi sedikit. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.


Kalau rasa masih tak mampu untuk bermula dengan RM100 setiap bulan, mulakan dengan RM50 dahulu. Tidak ada orang yang terus berjaya pada percubaan yang pertama. Walaupun RM50 simpanan sebulan mungkin dirasakan besar pada awalnya, sekiranya kita terus konsisten dan cekal, lama-kelamaan kita akan dapat membiasakan diri.


Dan sekiranya RM50 masih juga dirasakan sukar, maka mulalah dengan serendah RM1 sahaja sehari atau RM30 sebulan. Dengan nilai sebatang rokok atau segelas sirap ini, kita mampu untuk belajar mengubah kehidupan untuk masa depan yang lebih cerah. Sehari seringgit, lama-lama jadi bukit!



Azraei Muhamad ialah penulis ‘Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima’ dan sekuelnya, ‘Enam Angka Menjelang Disember’. Beliau menulis pengalaman kewangan untuk memberi inspirasi kepada anak muda dan sebagai rujukan generasi seterusnya. Beliau juga berkongsi tip dan video kewangan di Instagram / Twitter @azraeimuhamad.


Tulisan pengalaman menguruskan kewangan ketika pandemik ini diharap dapat menjadi panduan untuk generasi akan datang mendepani cabaran mereka nanti.



Penulisan dalam artikel adalah pendapat penulis dan tidak mencerminkan pandangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)