URUS bersama Azraei Muhamad | Keluarga Bahagia

Keluarga Bahagia Oleh Azraei Muhamad


Sekiranya merancang kewangan untuk diri sendiri pun boleh jadi sukar, bayangkan jika kita mahu merancang bukan sahaja untuk diri, malah untuk pasangan dan anak anak juga. Tidak sanggup? Jangan risau. Sesuatu yang sukar tidak bermakna ia mustahil. Bak kata pepatah Melayu, alah bisa tegal biasa. Kembali kepada yang asas—sedikit-sedikit, lama lama jadi bukit.


Perancangan kewangan keluarga membantu mewujudkan strategi menguruskan keperluan di saat kita menjalani fasa-fasa berbeza dalam kehidupan. Bermula dengan kehidupan awal pekerjaan, menyimpan duit untuk majlis perkahwinan, kita seterusnya akan menyusuri alam rumah tangga. Pesan orang tua-tua, kalau dulu makan seorang, sekarang dah berdua. Maka apabila dah berdua, sudah tentu proses menyusun kewangan pun dah berbeza berbanding semasa zaman bujang.


FASA-FASA KEHIDUPAN


Hidup ialah sebuah kitaran. Dari zaman nenek moyang kita, sehinggalah anak cucu nanti, manusia melalui kitaran hidup yang sama. Lahir sebagai seorang bayi, kita akan membesar menjadi kanak-kanak. Dari remaja, kita akan memasuki alam dewasa pula dan sebahagian akan memulakan kehidupan berkeluarga. Kita bekerja, sehingga ke usia tua, dan dalam masa yang sama seorang lagi bayi dilahirkan. Sedar tak sedar, kita akan dapati bahawa dalam setiap fasa ini, ada perbelanjaannya tersendiri untuk memenuhi keperluan hidup. Setiap orang mempunyai perbelanjaan. Namun, tidak semua orang mempunyai pendapatan dalam hidup mereka. Anak kecil, kanak-kanak, remaja, rata-rata tidak mempunyai pendapatan sendiri.

  1. Bayi
    Susu, lampin, dan perubatan adalah antara sebahagian daripada perbelanjaan keperluan seorang bayi. Perbelanjaan untuk menyambut cahaya mata ini sebenarnya bermula beberapa bulan sebelum ketibaan si comel lagi. Ibu bapa akan mula membuat pemeriksaan kesihatan si ibu pada fasa kehamilan dan menguruskan pakaian, peralatan, serta kelengkapan lain. Ini tidak termasuk lagi kos-kos tambahan yang diperlukan untuk menjaga ibu selepas bersalin seperti perkhidmatan bidan sepanjang tempoh berpantang dan hal-hal kecemasan.

  2. Kanak-Kanak
    Fasa seterusnya ialah zaman kanak-kanak, iaitu zaman riang dan girang yang dilalui tanpa perlu memikirkan masalah hidup. Itu untuk mereka tetapi untuk kita sebagai ibu bapa, lain pula ceritanya. Bermula dengan  penjagaan seperti pengasuh dan tadika, keperluan asas lain seperti permainan, kelengkapan dan makanan harian juga menjadi antara perbelanjaan utama dalam proses membesarkan seorang kanak-kanak.

  3. Zaman Persekolahan
    Sebaik sahaja anak-anak memasuki alam persekolahan, maka perbelanjaan terbesar dalam membesarkan anak-anak pun bermula. Kelengkapan seperti pakaian seragam sekolah, buku teks, yuran tuisyen, dan lain-lain akan mengiringi, selain daripada kos pendidikan lain yang diperlukan. Ini akan terus meningkat sebaik memasuki sekolah menengah pula.

    Tahukah anda, kos membesarkan seorang anak sehingga memasuki universiti dianggarkan sehingga RM300,000! (Anggaran Kos: RM12,000/tahun @ RM1,000/bulan.)

  4. Kolej/Universiti
    Sebaik sahaja tamat alam persekolahan, kos pendidikan akan naik dengan mendadak! Bergantung kepada kursus dan institusi pengajian, perbelanjaan pendidikan di universiti dan kolej boleh meningkat berganda-ganda. Jika memilih untuk menyambung pengajian ke luar negara, faktor tukaran mata wang asing pula perlu diambil kira.

    (Petua: Ubah cara berfikir dengan melihat kos pendidikan sebagai pelaburan berbanding perbelanjaan.)

  5. Alam Pekerjaan (20an-30an)
    Alam pekerjaan menandakan bermulanya langkah menuju kedewasaan sebenar. Dan, menjadi dewasa bermaksud lebih tinggi aliran wang keluar dan masuk berlaku. Seperti yang dibincangkan dari awal, mengurus gaji pertama dan merancang untuk berkahwin/melancong menjadi sebahagian daripada keputusan perbelanjaan yang akan dibuat.

  6. Kehidupan Berkeluarga (30an-40an)
    Selepas mendirikan rumah tangga, keputusan seperti membeli rumah dan kereta adalah antara aspek utama pengurusan wang pada fasa umur ini. Ada yang mula bertukar pekerjaan, menerima kenaikan pangkat, pertambahan gaji, dan lain lain yang berlaku sepanjang usia 30an-40an. Ini semua bakal berlaku seiring dengan tanggungjawab membesarkan anak, selain kemungkinan menjaga kedua-dua ibu bapa yang meningkat usia.

  7. Menuju Persaraan (50an-60an)
    Selepas berpuluh tahun menabur bakti dan bekerja keras, kini tibalah masa untuk melangkah ke fasa terakhir, iaitu menuju persaraan. Cukupkah wang disimpan selama 30-40 tahun kita bekerja selama ni? Bagaimana pula dengan perbelanjaan dan kehidupan selepas bersara nanti? Anak-anak juga sudah meningkat dewasa. Ada yang akan mengambil kira perbelanjaan kenduri kahwin anak. Ada pula yang merancang untuk bercuti dan meluangkan masa bersama keluarga.


MATLAMAT YANG BERBEZA, IMPIAN YANG SAMA


Jika diamati, setiap fasa kehidupan di atas mempunyai matlamat yang berbeza. Dari anak kecil sehinggalah ke usia persaraan, apa yang ingin kita capai dalam hidup masing-masing tidak sama antara satu sama lain. Namun, setiap matlamat itu mempunyai impian yang sama—untuk kehidupan yang lebih baik.


Pengurusan kewangan keluarga mestilah mempunyai aspek matlamat, impian, sumber, dan tanggungjawab. Semua orang boleh meletakkan angan-angan dan impian masing-masing, tetapi tanpa sumber yang mencukupi dan tanggungjawab yang digalas, impian hanya akan kekal sebagai angan-angan sahaja.


Oleh itu, penting untuk kita faham bahawa bermula dari saat ini, tidak kira pada fasa mana kita berada, kita harus sedar bahawa menjadi tanggungjawab kita untuk memegang amanah dengan sumber yang ada, dan mengikut perancangan kewangan yang disusun sebaiknya supaya kita boleh mencapai matlamat yang diimpikan.


Pasangan, anak-anak, dan ahli keluarga boleh menjadi pencetus semangat atau penghalang kepada cita-cita kita. Penting untuk kita memastikan bahawa setiap daripada kita berada dalam visi dan misi yang sama supaya usaha yang disepakati tadi dapat memanfaatkan seluruh ahli keluarga. Usaha ini memerlukan pelaburan masa, tenaga, idea, dan wang dari semua pihak bagi membentuk keluarga bahagia. Bagaimana nak bermula?


Dalam artikel akan datang, kita akan berbincang mengenai topik kegemaran ramai—Pelaburan. Jumpa lagi!




Azraei Muhamad ialah penulis “Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima” dan sekuelnya, “Enam Angka Menjelang Disember”. Beliau menulis pengalaman kewangan untuk memberi inspirasi kepada anak muda dan sebagai rujukan generasi seterusnya. Beliau juga berkongsi tip dan video kewangan di Instagram/Twitter/TikTok @azraeimuhamad dan @financialgory.

Tulisan pengalaman menguruskan kewangan ketika pandemik ini diharap dapat menjadi panduan untuk generasi akan datang mendepani cabaran mereka nanti.




Penulisan dalam artikel adalah pendapat penulis dan tidak mencerminkan pandangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)