URUS bersama Pn Ainon Mohd | Risiko Tidak Membayar Hutang

Mengapa peniaga kecil yang banyak duit pun tetap perlu membuat pinjaman?


Apabila ‘bisnes’ kita sudah bagus dan menjana keuntungan yang tinggi, kita beranggapan bahawa kita sudah tidak perlu menggunakan kemudahan pinjaman atau pembiayaan daripada bank.


Namun, kita perlu juga membuat pinjaman dan bayaran balik kepada pihak bank.


Mengapa demikian?


Rekod-rekod pinjaman dan bayaran hutang ialah salah satu perkara yang ‘wajib’ ada dalam profil kewangan perniagaan kita.


Walaupun kita mempunyai duit yang banyak dalam akaun bank dan aliran tunai (cash flow) perniagaan kita tidak pernah ‘tercekik’, kita memerlukan rekod yang menunjukkan kita ada membuat pinjaman kecil serta membayar ansuran pinjaman tersebut dengan cantik tiap-tiap bulan.


Dalam hal ini, kita meminjam bukan sebab kekurangan dana kewangan. Kita meminjam sebab hendak meyakinkan orang-orang penting dalam dunia ‘bisnes’.


Pengurus bank dan pegawai agensi yang membantu usahawan, misalnya, mahu melihat bukti kukuh bahawa kita ialah seorang peniaga yang pandai mengurus perniagaan sehingga berjaya mendapat keuntungan dan mampu pula membayar balik pinjaman.


Mereka mahu melihat adakah kita seorang yang berdisiplin dalam membayar balik pinjaman. Apabila mereka melihat rekod bayaran pinjaman kita cantik, barulah mereka percaya kita seorang peniaga yang layak ditawarkan bantuan ataupun pinjaman. Tanpa rekod pinjaman dan bayaran balik, mereka tidak ada bukti kukuh bahawa kita seorang peniaga yang berdisiplin dalam membayar balik pinjaman.


Risiko berhutang


Walaupun ia boleh menjadi langkah strategik, berhutang ada risikonya. Tidak kira sama ada dengan bank atau orang perseorangan, berhutang tetap ada risikonya.


Jika ia melibatkan hutang bank, pihak bank mempunyai prosedur untuk mendapatkan semula pinjaman atau pembiayaan yang mereka telah berikan.


Apa yang paling bahaya ialah hutang dengan individu. Kemungkinan besar, mereka akan menceritakan kepada orang lain perihal kita tidak membayar balik hutang kepada mereka. Malah, nama baik kita diburuk-burukkan. Yalah, orang tengah sakit hati; apabila bercakap, dia hilang pemikiran rasional. Padahal, kesalahan kita hanya 'tidak membayar hutang' tetapi kita dilabel penipu, pembohong, pendusta, scammer, dan lain-lain. Inilah bahayanya.


Berbalik kepada hutang bank, risikonya tetap besar kerana sebarang tunggakan akan tertera dalam rekod sistem CCRIS / CTOS.


Jom kita tengok apa itu CCRIS dan CTOS


Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) merupakan pangkalan data yang dimiliki oleh Bank Negara Malaysia dan menyimpan rekod hutang-hutang peribadi individu di Malaysia.


Manakala Credit Tip-Off Service (CTOS) ialah sistem maklumat utama yang digunakan secara meluas oleh majoriti sistem kewangan negara, syarikat perdagangan dan perniagaan, firma undang-undang dan institusi lain.


Apakah antara contoh maklumat yang dipaparkan dalam rekod CCRIS dan CTOS?


  • Apa sahaja jenis hutang kita dengan penyedia kredit seperti bank, syarikat kewangan, syarikat kad kredit, PTPTN, MARA, TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia, ASB, syarikat yang menjual barangan elektrik rumah secara kredit, dan lain-lain.
  • Maklumat tingkah laku kita sebagai penghutang selama tempoh 12 bulan terakhir, sama ada kita membayar ansuran pinjaman kita itu atau pun sebaliknya. Jika gagal membayar ansuran pinjaman 2 bulan berturut-turut (defaulter) - nama peminjam akan muncul dalam CCRIS secara automatik. Rekod ini menjadi bukti sama ada kita pandai mengurus duit kita ataupun tidak.
  • Maklumat mengenai cek-cek tendang yang kita keluarkan.
  • Maklumat mengenai surat-surat saman dan kes mahkamah yang dihantar kepada kita.
  • Maklumat mengenai permohonan pinjaman yang belum diluluskan. Di sini boleh dilihat jika kita seorang yang suka membuat hutang di sana sini.


Rekod anda akan ‘tercalar’ sekiranya anda:

  • Tidak membayar ansuran pinjaman PTPTN, misalnya, atau mempunyai tunggakan dengan penyedia kredit yang lain.
  • Tidak membayar bil langganan perkhidmatan, seperti televisyen berbayar dan telefon, ataupun bayaran ansuran bulanan peralatan elektrik.


Sekiranya nama kita sudah berada dalam sistem CCRIS/CTOS, institusi kewangan akan menjadikan laporan kredit tersebut sebagai rujukan terhadap sejarah hutang kita yang lampau. Untuk memastikan rekod kita sentiasa ‘up-to-date’ dan cantik, kita mesti membayar semua hutang tertunggak. Proses pengemaskinian rekod anda akan memakan sedikit masa, maka lagi cepat anda membayar tunggakan lagi baik.


Jika dibiarkan, anda boleh menghadapi risiko diisytiharkan bankrap. Sebagai seorang muflis, anda:

  • Tidak lagi boleh membuka syarikat baru.
  • Tidak boleh memegang jawatan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat.
  • Tidak boleh membuka akaun bank.
  • Tidak layak memohon pinjaman, termasuk pembiayaan untuk membeli kereta dan rumah.


Jika hutang dibayar, pemiutang akan memasukkan nama kita ke dalam sistem CCRIS/CTOS. Ini termasuklah penjamin pinjaman pelajaran yang mana peminjamnya tidak membayar balik pinjaman. Begitulah risiko tidak membayar hutang.


Bagi mengelakkan keadaan ini, dapatkan bantuan awal daripada AKPK sekiranya sudah timbul tanda-tanda bayaran pembiayaan perniagaan akan tertunggak. Dan, jika sudah tertunggak, bantuan tetap ada disediakan.


Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan perusahaan mikro yang menghadapi masalah bayaran balik pembiayaan perniagaan dengan institusi kewangan boleh mendapatkan bantuan AKPK untuk penstrukturan atau penjadualan semula pembiayaan tersebut melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) di pautan https://www.akpk.org.my/sdrs. PKS juga boleh menyalurkan permintaan kepada bank untuk apa-apa bantuan bayaran balik pembiayaan perniagaan yang diperlukan melalui Meja Bantuan PKS AKPK di pautan https://akpk.org.my/my/mejabantuanpks. Selain itu, AKPK juga menyediakan pendidikan kewangan untuk PKS merancang dan mengurus kewangan perniagaan mereka.



Puan Ainon Mohd merupakan Pengerusi bagi Kumpulan Syarikat PTS Media Group Sdn. Bhd.—salah sebuah syarikat penerbitan buku terbesar di Malaysia. Beliau juga merupakan Pengasas Ainon Business School yang mempunyai 500,000 followers yang terdiri daripada orang-orang ‘bisnes’ di Facebook.


Beliau juga aktif berkongsi sehingga 10-15 tip ‘bisnes’ setiap hari di laman Facebook milik beliau. Untuk tip ‘bisnes’ yang bermanfaat, anda boleh ‘follow’ beliau di sini.



Penulisan dalam artikel ini ialah pendapat penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).