URUS bersama Azraei Muhamad | Bagaimana Mula Melabur

Bagaimana Mula Melabur? oleh Azraei Muhamad


Barangkali inilah bab yang ditunggu-tunggu – bab melabur! Selesai kita bercerita tentang menyimpan dan berbelanja, tidak lengkap pengurusan kewangan kita kalau tidak menyentuh mengenai pelaburan. Malah, ia merupakan elemen yang penting untuk membawa perancangan kita maju ke hadapan.


Melabur membantu kita membina harta dan kekayaan dalam jangka masa panjang. Selepas sekian lama kita bekerja untuk wang, sekarang tibalah masa wang pula bekerja untuk kita. Ayuh!


LABUR: MULA DARI MANA?


Sebelum kita meletakkan wang hasil titik peluh kita ke dalam mana-mana platform pelaburan, kita perlu tahu konsep asas mengenai pelaburan itu sendiri. Ada dua sumber utama yang diperlukan untuk kita melabur – duit dan masa. Tapi semua ini akan terbazir dan sia-sia kalau kita melabur tanpa satu komponen penting ini, iaitu ILMU. Nak jadi jutawan, kena belajar berkorban. Pengorbanan ni termasuk wang, masa, dan tenaga.


Dapatkan buku-buku yang menarik minat dan rasa ingin tahu dalam diri dan sertai kelas-kelas yang mengasah kemahiran kewangan. Platform dalam talian seperti di laman web AKPK ini sendiri juga banyak perkongsian. Malah, melabur dalam ilmu ini adalah antara pelaburan yang akan sentiasa memberi keuntungan kepada kita. Peningkatan tahap celik wang dalam diri akan membantu untuk kita membuat keputusan yang lebih baik dalam pelaburan – a well-informed decision.


Namun, perlu diingat satu perkara. Tiada satu strategi atau teknik yang 100% berkesan untuk semua orang. Kemahiran kewangan ini ialah satu seni. Kaedah yang terbaik ialah kaedah yang berkesan dan menjadi buat kita – mungkin sama dengan orang lain, mungkin tidak. Akan ada kejayaan dan kegagalan dalam perjalanan ini, bahkan kegagalan ialah langkah pertama menuju kejayaan.


KENAL PASTI SUMBER YANG ADA



Seperti mana perbelanjaan, dalam pelaburan juga kita perlu tahu keperluan dan kemampuan kita. Kita dah bercakap tentang meletakkan sasaran dan matlamat untuk dicapai. Selepas menetapkan matlamat (menggunakan teknik S.M.A.R.T.), tibalah masa untuk kita menggunakan sumber yang ada dengan melabur bagi memastikan matlamat tadi berjaya.


Untuk melabur, kita perlu mengenal pasti empat elemen penting:

  • Wang yang ada untuk dilaburkan.
  • Tempoh masa pelaburan.
  • Toleransi risiko.
  • Platform yang akan digunakan.


Selalunya yang akan menjadi perhatian utama untuk kita melabur ialah modal. Ramai yang merasakan bahawa untuk mula melabur, kita perlukan modal yang besar, barulah boleh untung! Modal besar, untung besar. Tapi kalau rugi, ruginya pun besar. Itu kita akan bincangkan dalam topik Risiko nanti.


Sebagai permulaan, kita perlu pastikan modal atau wang yang ingin dilaburkan, ialah wang lebihan hasil pendapatan. Jangan sekali-kali melabur menggunakan wang daripada peruntukan keperluan seperti duit belanja dapur atau sewa rumah. Ini kerana, selain daripada wang tersebut diperlukan untuk kelangsungan hidup, melabur dengan wang keperluan akan meletakkan tekanan yang lebih tinggi kepada kita. Dan apabila kerugian berlaku, kesannya akan menjadi lebih parah. Bayangkan duit yang diperlukan untuk susu anak dilaburkan, kemudian rugi pula. Tekanan perasaan dan ketegangan akan timbul dalam keluarga.


Jadi, dari mana boleh kita dapatkan wang lebihan ini tadi?


Sebab itulah pentingnya untuk ada wang simpanan yang sudah kita asingkan awal-awal lagi (rujuk artikel-artikel lepas berkaitan aliran tunai dan simpanan). Dengan wang yang sudah disimpan, kita akan gunakan baki daripada pendapatan untuk dibelanjakan. Dengan disiplin yang diterapkan, pengasingan ini memungkinkan kita mempunyai lebihan wang secara konsisten setiap bulan. Wang simpanan inilah yang akan kita gunakan untuk melabur.


Selain disiplin dalam menyimpan, penetapan matlamat yang teratur dan sistematik juga mengajar kita untuk memahami konsep “Masa Itu Emas” dalam pengurusan wang. Dengan masa, kita akan mampu menyimpan sejumlah wang selepas satu tempoh yang ditetapkan. Dengan masa juga, kita akan faham bahawa konsep yang sama terpakai apabila kita ingin melabur.


Kepercayaan bahawa “melabur hari ini, esok dah untung” ialah sesuatu yang mengundang bahaya dalam pelaburan. Ia akan menjadikan kita seorang yang tidak mampu bersabar. Kepercayaan ini juga akan mendedahkan kita kepada kepada risiko penipuan seperti skim cepat kaya, Pak Man Telo, skim ponzi, dan sebagainya. Ini semua terjadi akibat ketamakan yang timbul dalam diri.


Masa dan wang ialah komponen utama dalam pelaburan. Proses yang mendatangkan hasil pula datang dari kesabaran. Seperti menanam benih pokok, kita kena pastikan akarnya kuat dahulu, barulah pohonnya nanti kukuh. Selepas bunga sudah berputik, barulah buahnya akan bercambah. Dan tidak semua buah pula elok untuk dimakan. Itulah pelaburan. Semuanya datang daripada kesabaran.


Untuk dua lagi elemen pelaburan iaitu toleransi risiko dan platform pelaburan, kita akan sambung dalam artikel akan datang. Kedua-duanya memerlukan penerangan yang lebih terperinci. Ingat, kena bersabar.


Jumpa lagi!



Azraei Muhamad ialah penulis “Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima” dan sekuelnya, “Enam Angka Menjelang Disember”. Beliau menulis pengalaman kewangan untuk memberi inspirasi kepada anak muda dan sebagai rujukan generasi seterusnya. Beliau juga berkongsi tip dan video kewangan di Instagram/Twitter/TikTok @azraeimuhamad dan @financialgory.


Tulisan pengalaman menguruskan kewangan ketika pandemik ini diharap dapat menjadi panduan untuk generasi akan datang mendepani cabaran mereka nanti.



Penulisan dalam artikel adalah pendapat penulis dan tidak mencerminkan pandangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).