URUS bersama Pn Ainon Mohd | Cara Peniaga Kecil Membayar Hutang Pinjaman/Pembiayaan

Kebanyakan individu perlu berhutang untuk membiayai perbelanjaan bagi tujuan  menampung kos perubatan, melanjutkan pelajaran, melangsungkan perkahwinan, ataupun memulakan perniagaan. Oleh yang demikian, usaha untuk bebas daripada hutang sepenuhnya mungkin agak mustahil.

Namun, anda perlu tahu kemampuan anda untuk membayar semua hutang. Teruskan membaca untuk mengetahui kemampuan anda membayar hutang, dan tip-tip untuk membayar hutang dengan lebih cepat.

Banyak peniaga kecil memulakan 'bisnes' dengan apa yang mereka ada. Pada zaman pandemik ini, ramai yang terpaksa berniaga, dan bukan kerana mereka mahu berniaga.

Mereka terpaksa berniaga sama ada kerana hilang kerja, elaun berkurang, diminta cuti tanpa gaji, dan banyak lagi sebab yang membuatkan mereka terpaksa mula berniaga.

Ada yang menjadi, dan ada yang tidak menjadi. Ada pula yang berjaya mempertingkatkan perniagaan mereka dari satu tahap ke satu tahap yang lain.

Perniagaan yang bermula secara 'terpaksa' kini sudah ada pekerja dan jualan sudah stabil. Mahu tidak mahu, perniagaan ini mesti dikembangkan dengan segera.

Untuk mengembangkan perniagaan, peniaga kecil biasanya memilih untuk memohon pinjaman/pembiayaan sama ada dengan agensi kerajaan yang memberikan pinjaman/pembiayaan mudah kepada peniaga mikro atau dengan institusi kewangan yang menyediakan skim pinjaman/pembiayaan perniagaan mikro.

Mendapatkan pinjaman/pembiayaan ialah satu kaedah yang biasa digunakan untuk mengembangkan perniagaan.

Betul, mendapatkan pinjaman/pembiayaan memberikan kita satu kelebihan dari segi modal, tetapi ia datang dengan tanggungjawab untuk melunaskan hutang tersebut.

Jika kita ada masalah membayar balik hutang pinjaman/pembiayaan, nama kita boleh disenaraihitamkan, dan lebih parah, kita boleh diisytihar muflis oleh mahkamah.

Baca di sini: (Mengapa 'Orang Bisnes' Perlu Ada Rekod Perniagaan).


Hutang ada dua jenis.

Hutang "baik" ialah hutang yang membawa pulangan yang tinggi kepada perniagaan kita. Contohnya, kita membeli van secara berhutang, tapi dengan van tersebut, kita boleh membuat lebih banyak edaran ke saluran jualan yang kita mahukan. Dengan membuat pinjaman/pembiayaan juga, kita boleh membeli mesin yang meningkatkan jumlah pengeluaran dan sekaligus menaikkan produktiviti kerja.

Hutang "baik" boleh memudahkan perkembangan perniagaan kita jika kita mendapatkannya dengan perancangan bayaran balik yang praktikal.

Hutang "jahat" dalam perniagaan pula ialah hutang yang tidak membawa apa-apa pulangan kepada perniagaan kita.

Sebagai contoh, kita mengambil duit pinjaman/pembiayaan untuk tujuan membesarkan kedai tetapi duit tersebut tidak digunakan untuk membesarkan kedai, sebaliknya ia digunakan untuk renovasi pejabat atau ruang kedai.

Duit itu sudah menjadi perabot, siling, partition dan sebagainya. Duit itu tidak digunakan sebaiknya dan akhirnya kita terjerat dengan hutang yang perlu dibayar menggunakan duit perniagaan sedia ada.


Tip Mengambil Hutang

1. Mula dengan mengambil hutang kecil dahulu.

a. Contoh hutang kecil adalah yang bernilai RM2,000 dan ke bawah; belajarlah membayar hutang kecil dahulu.

2. Ambil hutang apabila betul-betul memerlukan.

a. Sebelum mengambil hutang, kenal pasti dahulu apakah hutang yang kita mahu ambil ini satu keperluan atau kemahuan. Adakah ia satu keperluan yang mendesak, atau 'kalau dapat bagus, tak dapat tak apa'. Jika kita rasa tidak perlu atau 50-50, jangan ambil dahulu.

3. Adakah dengan mengambil hutang masalah kita akan selesai?

a. Ya, ada yang menyangka masalah mereka ialah duit, jadi mereka membuat hutang untuk mendapatkan duit. Setelah dapat, masalah tidak juga selesai, tetapi duit tetap habis. Selepas diselidiki, masalah mereka yang sebenar bukan kekurangan duit, tetapi sikap.


10 Cara Membayar Hutang Yang Terbukti Berkesan

1. Jangan bertangguh

Sekiranya kita mempunyai baki hutang yang perlu dibayar serta merta, carilah duitnya dan terus bayar.

Jangan bertangguh kerana hutang akan nampak semakin banyak dan membuatkan kita rasa sayang hendak mengeluarkan duit untuk membayar hutang.
Akibatnya, kita lambat membayar hutang dan pemiutang akan berpandangan bahawa kita tidak jujur dan tidak mampu untuk menguruskan hutang dengan baik.

2. Ikut jadual bayaran balik

Ikut sepertimana yang telah dipersetujui. Dengan mengikuti jadual bayaran, kita tidak akan merasa tertekan mengejar masa kerana boleh bersedia lebih awal.

3. Maklumkan kepada pemiutang jika tak mampu membayar

Jangan buat tidak tahu atau tunggu sehingga ditanya baru hendak beritahu masalah yang dihadapi. Hubungi mereka sebaik sahaja kita perasan yang kita tidak mampu membayar seperti yang dijanjikan. Ini untuk mengelakkan desakan pemiutang atau tindakan undang-undang yang sepatutnya boleh dielakkan.

Ingat, setiap tindakan untuk menuntut hutang daripada kita, pada kebanyakan masanya, kitalah yang akan menanggung kosnya, dan ini akhirnya akan menambah hutang kita.

4. Bincang terma baru

Jika kita tidak mampu membayar mengikut persetujuan asal, bincang terma baru bayaran ansuran. Ini boleh membantu meringankan beban kita.

Jika tidak tahu bagaimana caranya berunding dengan institusi kewangan atau pihak pemiutang, kita boleh gunakan perkhidmatan yang disediakan oleh AKPK. Ia sangat membantu.

5. Menambah pendapatan 'bisnes'.

Tetapkan satu projek khas untuk membiayai bayaran hutang yang kita buat. Tetapkan tarikh penyelesaian yang lebih cepat daripada tempoh bayaran asal.


Kesimpulan

Mengambil hutang tidak salah, malah ia satu tindakan yang bijak kerana kita pandai menggunakan fasiliti yang ada untuk mengembangkan perniagaan kita.
Kita hanya perlu faham dan sedar bahawa duit yang kita gunakan ialah duit masa depan yang perlu dibayar apabila sampai masanya.

Rancang dan pastikan anda mengamalkan tip-tip yang diberikan dalam artikel ini, dan jangan lupa, jika anda mengalami masalah bayaran hutang atau ingin merancang kewangan perniagaan dengan lebih teliti, anda boleh mendapatkan bantuan AKPK.

Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Dapatkan bantuan awal daripada AKPK sekiranya sudah timbul tanda-tanda bayaran pembiayaan perniagaan anda akan tertunggak. Dan, jika sudah tertunggak, bantuan tetap ada disediakan.

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan perusahaan mikro yang menghadapi masalah bayaran balik pembiayaan perniagaan dengan institusi kewangan boleh mendapatkan bantuan AKPK untuk penstrukturan atau penjadualan semula pembiayaan tersebut melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) di pautan: https://www.akpk.org.my/my/sppk.

PKS juga boleh menyalurkan permintaan kepada bank untuk apa-apa bantuan bayaran balik pembiayaan perniagaan yang diperlukan melalui Meja Bantuan PKS AKPK di pautan: https://akpk.org.my/my/mejabantuanpks.

Selain itu, AKPK juga menyediakan pendidikan kewangan untuk PKS merancang dan mengurus kewangan perniagaan mereka.


Puan Ainon Mohd merupakan Pengerusi bagi Kumpulan Syarikat PTS Media Group Sdn. Bhd., salah sebuah syarikat penerbitan buku terbesar di Malaysia.

Beliau juga merupakan Pengasas Ainon Business School yang mempunyai 500,000 pengikut yang terdiri daripada orang-orang 'bisnes' di Facebook.

Beliau juga aktif berkongsi sehingga 10-15 tip 'bisnes' setiap hari di laman Facebook milik beliau. Untuk tip 'bisnes' yang bermanfaat, anda boleh 'follow' beliau di sini.

Penulisan dalam artikel ini ialah pendapat penulis semata-mata dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).