URUS bersama Pn Ainon Mohd | Panduan Tentang Bila dan Bagaimana Memohon Pembiayaan Bank

Panduan Tentang Bila dan Bagaimana Memohon Pembiayaan Bank


Apabila hendak mula berniaga, jangan jalankan perniagaan dengan menggunakan duit pembiayaan bank. Risikonya sangat tinggi.

Statistik menunjukkan 93% perniagaan tutup dalam tempoh 3 tahun selepas dibuka. Ini bermakna pembiayaan bank itu akan gagal dibayar. Sudahlah bisnes tutup, harus menanggung hutang bank pula.

Apabila kita mengambil pembiayaan bank bagi memulakan perniagaan, sebenarnya kita telah melakukan kesilapan besar yang pertama.

Bisnes ialah perkara yang tiada kepastian. Banyak perkara dalam bisnes yang berada di luar kawalan kita.

Perkara yang di luar kawalan itu boleh jadi membantu bisnes kita, dan boleh jadi menyebabkan bisnes kita gulung tikar.

Pembiayaan bank pula ialah perkara yang pasti. Tiap-tiap bulan kita mesti membayar balik hutang bank.


Bila kita boleh ambil pembiayaan bank?

Apabila bisnes sudah melepasi tempoh 3 tahun, waktu itu ia sudah perlu dikembangkan.

Pada fasa inilah bisnes memerlukan sokongan daripada pihak bank bagi tujuan:

  • Memindahkan bisnes ke premis yang lebih besar.
  • Membeli premis sendiri.
  • Membeli mesin-mesin yang berkapasiti lebih tinggi.
  • Membeli kenderaan untuk pengedaran yang lebih meluas.

Bolehkah kita membangunkan perniagaan tanpa pembiayaan bank sama sekali?

Sangat sukar mahu membesarkan syarikat dan mengembangkan perniagaan tanpa mendapatkan sokongan daripada pihak bank.

Bahkan, dalam sistem ekonomi moden, ia hampir mustahil dapat dilakukan.

Kita mahu mengembangkan bisnes, tetapi tidak mahu menggunakan perkhidmatan bank? Itu seperti kita yang tinggal di Semenanjung dan mahu ke Sabah, tetapi kita tidak mahu menaiki kapal terbang.


Apakah strategi untuk memohon pembiayaan bank?

Apabila memohon pembiayaan, bank bukan mahu melihat berapa banyak duit tunai dalam akaun syarikat. Duit yang banyak tidak mencerminkan syarikat yang kukuh.

Bank tidak akan meluluskan permohonan pembiayaan; jika syarikat kita mempunyai 2 ciri di bawah ini:

Syarikat kita tidak mempunyai rekod percukaian yang “cantik” di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selama beberapa tahun berturut-turut.

Kita membayar cukai, tetapi jumlah cukai yang dibayar itu sangat kecil berbanding dengan jumlah pembiayaan ataupun fasiliti yang dimohon.

Sebelum kita mahu mendapatkan pembiayaan daripada bank, kita juga perlu membuatkan bank “suka” kepada kita.

Bank suka apabila akaun kita sangat aktif. Tiap-tiap hari ada duit keluar masuk.

Walaupun duit yang keluar masuk itu tidak banyak jumlahnya, apa yang penting, duit-duit itu banyak kali keluar masuk!

Akaun yang aktif menjadi bukti bisnes kita sangat aktif. Hari-hari ada jualan. Hari-hari ada belian. Hari-hari ada orang bayar kepada kita. Hari-hari kita bayar kepada orang.

Jadi, kita mesti masukkan duit tiap-tiap hari! Barulah bank suka.

Bank tidak suka akaun yang mana duit jarang-jarang masuk walaupun bila sekali masuk jumlahnya bergepuk-gepuk!

Contohnya, akaun kontraktor kerajaan selalu macam itu. Cek jarang-jarang masuk. Sekali masuk bergepuk-gepuk! Selepas itu duit keluar, keluar, dan keluar... tak masuk-masuk lagi.

Selain itu, bank juga mahu melihat laporan kewangan syarikat kita yang telah diaudit. Walaupun duit syarikat kita dalam akaun bank tidak banyak, tetapi bank tetap sedia membantu syarikat kita selepas meneliti laporan kewangan kita yang telah diaudit.

Bank bukan mahu tengok duit kita banyak atau tidak dalam akaun kita. Kita mungkin mempunyai RM2 juta dalam akaun, tetapi itu tidak menjamin bank akan membantu bisnes kita.

Justeru, kalau mahu menjadi businessman atau businesswoman yang berjaya, uruslah rekod-rekod kewangan syarikat dengan betul.

Apabila kita memohon sebarang fasiliti perbankan bagi mengembangkan bisnes, bank akan minta supaya kita mengemukakan laporan kewangan yang telah diaudit. Tanpa laporan yang diaudit, permohonan tidak mungkin diluluskan.

Oleh itu, laporan kewangannya hendaklah disediakan terlebih dahulu untuk diaudit oleh auditor. Dan, laporan kewangan tersebut hanya dapat disediakan apabila semua dokumen duit keluar dan masuk ada tersimpan dengan lengkap dalam fail-fail kewangan syarikat.

Jika dokumen kewangan tidak lengkap, laporan kewangan tidak dapat disediakan.

Tambahan pula, apabila laporan kewangan gagal dihantar ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan LHDN, pelbagai kompaun dan penalti sedia menunggu pemilik bisnes dan setiap ahli lembaga pengarah!


Kesimpulan

Apabila kita memilih sesuatu idea bisnes, tiada jaminan idea itu akan menjadi. Ingat statistik yang disebut awal-awal tadi? Hanya 7 daripada 100 bisnes yang dimulakan dapat bertahan selepas 3 tahun.

Ini bermakna, kita harus bersedia untuk mencuba dan terus mencuba sehingga akhirnya kita berjaya menemui model bisnes yang sesuai dengan usaha kita.

Meskipun kita bermula dengan idea yang tidak menjadi, apa yang penting adalah akhirnya kita dapat idea yang menjadi.

Namun, jika kita memulakan bisnes dengan pembiayaan dan bisnes pula tidak menjadi, ia akan menyukarkan kita memulakan bisnes lain kerana sudah terikat dengan hutang.

Oleh itu, mulalah dengan apa yang ada di tangan.

Jika perniagaan sudah maju dan stabil serta perlu dikembangkan barulah fikir untuk memohon pembiayaan bank. Apa yang penting bagi bank untuk mempertimbangkan permohonan kita ialah akaun syarikat yang aktif dengan duit keluar masuk perniagaan serta dokumen-dokumen kewangan yang lengkap dan teraudit.

Jika anda mengalami masalah bayaran balik pembiayaan perniagaan atau ingin merancang kewangan perniagaan dengan lebih teliti, anda boleh mendapatkan bantuan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Dapatkan bantuan awal daripada AKPK sekiranya sudah timbul tanda-tanda bayaran pembiayaan perniagaan akan tertunggak. Dan, jika sudah tertunggak, bantuan tetap ada disediakan oleh AKPK mahupun pihak bank.

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan perusahaan mikro yang menghadapi masalah bayaran balik pembiayaan perniagaan dengan institusi kewangan boleh mendapatkan bantuan AKPK melalui Skim Penyelesaian Pembiayaan Kecil (SPPK) untuk penstrukturan atau penjadualan semula pembiayaan di pautan: https://www.akpk.org.my/my/sppk

PKS juga boleh menyalurkan permintaan kepada pihak bank untuk apa-apa bantuan bayaran balik pembiayaan perniagaan yang diperlukan melalui Meja Bantuan PKS AKPK di pautan: https://akpk.org.my/my/mejabantuanpks.

Selain itu, AKPK juga menyediakan pendidikan kewangan untuk PKS merancang dan mengurus kewangan perniagaan mereka.


Puan Ainon Mohd merupakan Pengerusi bagi Kumpulan Syarikat PTS Media Group Sdn. Bhd., iaitu salah sebuah syarikat penerbitan buku terbesar di Malaysia.

Beliau juga merupakan Pengasas Ainon Business School yang mempunyai 500,000 followers yang terdiri daripada orang-orang bisnes di Facebook.

Beliau juga aktif berkongsi sehingga 10-15 tip bisnes setiap hari di laman Facebook milik beliau. Untuk tip bisnes yang bermanfaat, anda boleh follow beliau di sini.


Penulisan dalam artikel ini ialah pendapat penulis semata-mata dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).