URUS bersama Pn Ainon Mohd | Sepuluh Kelebihan Menggunakan Pemasaran Dalam Talian (Online)

Sepuluh Kelebihan Menggunakan Pemasaran Dalam Talian (Online)


Pemasaran digital ialah trend pemasaran yang ketara pada masa kini. Perniagaan yang tidak mengunakan saluran digital sebagai salah satu kaedah pemasaran akan ketinggalan dan kehilangan ramai pelanggan harapan.

Oleh itu, memahami kempen pemasaran digital dan menggunakan kemudahan tersebut untuk ‘bisnes’ kita adalah sangat kritikal.


Berikut disenaraikan 10 kelebihan menggunakan kempen pemasaran digital untuk peniaga.


1. Mudah diurus dan dikemas kini.

  1. Sekarang semua perniagaan boleh dimulakan dengan cara yang paling mudah dan murah. Pemasaran digital juga begitu.
    Dengan menggunakan platform yang sudah disediakan khas untuk peniaga, kita dapat mengemas kini maklumat mengenai produk, harga dan sebarang tawaran istimewa dalam masa yang singkat.
  2. Kita juga tidak perlu pengetahuan teknikal yang mendalam kerana kebanyakan platform sudah direka untuk sedia digunakan—sesuai bagi mereka yang mempunyai pengetahuan minimum berkenaan pemasaran digital.
  3. Kebanyakkan platform tersebut juga boleh diakses dan diurus menggunakan telefon bimbit.
    Ia bukan sahaja memudahkan peniaga, malahan ia memberikan fleksibiliti kepada mereka dalam mengurus dan menjalankan perniagaan.

2. Jangkauan yang lebih besar.

  1. Pengguna media sosial semakin meningkat dari hari ke hari. Jumlah pengguna media sosial yang aktif menggunakan aplikasi ini melebihi jumlah pengguna aktif mana-mana media massa yang lain. Tambahan pula, dianggarkan seramai 26 juta rakyat Malaysia mempunyai akaun media sosial.
  2. Kini, dengan menggunakan perkhidmatan pengiklanan berbayar di platform media sosial, peniaga boleh menjangkau bukan ratusan, bukan ribuan, tapi puluhan ribu pengguna dalam masa yang singkat.
    Ini mustahil dilakukan sebelum ini, jika ‘bisnes’ kita tidak mempunya modal yang besar dan bajet pemasaran yang tinggi. Oleh itu, usahawan wajib belajar atau menggunakan kaedah pemasaran digital jika tidak mahu ketinggalan dalam merebut pelanggan harapan dalam pasaran ini.

3. Kos permulaan yang berpatutan.

  1. Dahulu, jika kita mahu bina laman web, kita perlu mengeluarkan belanja beribu-ribu ringgit. Sekarang dengan hanya modal sebanyak RM45 sebulan, kita sudah boleh ada laman web yang mudah direka dengan kaedah drag and drop.
  2. Dahulu, untuk ada pangkalan data (database) pelanggan sangatlah susah, tetapi kini, dengan menggunakan media sosial, proses mengumpul data bakal pelanggan menjadi sangat mudah dan sangat murah.
  3. Dahulu, risalah (flyers) perniagaan perlu dicetak sebelum diedarkan. Ini memakan masa dan belanja yang tinggi.
    Kini, dengan menggunakan kaedah pemasaran digital, wang tersebut boleh dijimatkan dan digunakan pula untuk mencapai beribu-ribu prospek yang kita sudah kenal pasti secara terperinci.

4. Ada data berharga.

  1. Dengan pemasaran digital kita boleh menyasarkan iklan produk atau servis kita kepada pelanggan yang kita mahukan. Ini boleh dilakukan menggunakan fungsi Interest yang terdapat di mana-mana platform pemasaran dalam talian.
    Fungsi Interest ini mengumpulkan prospek yang berminat dengan produk kita berdasarkan tabiat mereka ketika melayari aplikasi media sosial.
    Sebagai contoh, jika kita pernah menonton video berkaitan nasi lemak maka algoritma media sosial akan meletakkan kita sebagai orang yang berminat dengan nasi lemak.
  2. Apabila pengusaha mahu mengeluarkan iklan, mereka boleh menggunakan fungsi Interest nasi lemak sebagai salah satu cara untuk menyasarkan pelanggan harapan.
  3. Bukan itu sahaja. Kita juga boleh menyasarkan iklan kepada pengguna berdasarkan umur, jantina, pekerjaan, hobi dan bermacam-macam lagi pilihan Interest yang disediakan.

5. Jangkauan maklumat produk yang cepat.

  1. Hendak bagi 100 orang kenal produk kita pun susah, apatah lagi nak minta 1,000 orang ingat dan kenal produk kita. Dahulu, nak dapat kelebihan begini, produk kita perlu diiklankan di tv, radio dan akhbar tempatan setiap hari.
  2. Sekarang kita tak perlu buat begitu. Kita cuma perlu mengeluarkan belanja dengan kos serendah RM10 sehari untuk menghantar iklan kepada sekurang-kurangnya tiga ribu orang yang berminat dengan produk kita.
  3. Jika kita sedang menjalankan ‘bisnes’ pada hari ini, kaedah pemasaran digital adalah sangat penting untuk memastikan produk/servis kita dikenali oleh lebih ramai orang.

6. Penjualan segera.

  1. Dahulu rantaian produk agak panjang. Daripada pengilang, kepada pemborong, kepada pengedar dan seterusnya kepada peruncit, barulah produk sampai kepada pengguna akhir.
  2. Ini menyebabkan harga barang semakin mahal dan keuntungan pengeluar menjadi semakin sedikit. Namun, kini tidak lagi apabila pemasaran digital mula menjadi kebiasaan.
    Pengeluar atau pengasas produk boleh terus menjual dan menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar produk mereka terus kepada pembeli atau pelanggan.

7. Boleh bermula dengan modal kecil.

  1. Bayangkan situasi ini. Ali mempunyai kemahiran merakam gambar dengan menggunakan telefon bimbit. Dengan telefefon bimbit tersebut, beliau merakam gambar-gambar dan memasukkannya ke dalam aplikasi Facebook page, Instagram, Google Web dan pelbagai lagi platform digital percuma.
  2. Selepas itu, Ali boleh kongsikan pautan platform-platform tersebut pada grup setempat atau grup yang mempunyai minat yang sama.
  3. Ali juga boleh mula untuk mengiklankan servis beliau di platform-platform tersebut dengan modal serendah RM5.

8. Mudah dipelajari.

  1. Banyak tutorial dan rakaman pengajaran mengenai penggunaan platform pemasaran digital secara percuma ada di YouTube.
  2. Kita boleh belajar pada bila-bila masa—dari kelas pemula sehingga ke peringkat pakar. Pilih dan ikutilah mana-mana kelas yang dirasakan sesuai untuk mencapai objektif kita.

9. Pengiklanan 24/7

  1. Mereka yang memanfaatkan pemasaran digital boleh memilih masa dan ketika yang mereka mahu untuk iklan mereka disiarkan. Sebagai contoh, jika kita berniaga nasi lemak, kita cuma perlu set iklan kita pada jam 6 pagi sehingga 10 pagi setiap hari mengikut waktu kita berniaga.
  2. Ada juga pilihan untuk iklan kita disiarkan selama 24 jam sehari. Ini membolehkan iklan kita memperoleh jangkauan pelanggan harapan yang lebih ramai.

10. Tidak rugi.

  1. Dengan menggunakan platform pemasaran digital, kita sebagai pemilik ‘bisnes’ tidak akan rugi.
  2. Jika kempen atau iklan yang kita siarkan itu tidak mendatangkan hasil, kita boleh menggunakan data iklan itu untuk membetulkan kempen kita pada masa akan datang.
  3. Jika iklan yang kita jalankan itu berjaya, kita boleh menggunakan data iklan tersebut untuk mereka kempen yang lebih baik.
  4. Ia dapat menjimatkan masa kita kerana pemasaran digital memberikan data secara real-time dan tidak perlu tunggu sela masa yang lama untuk mendapatkan keputusan.


Kesimpulannya:

Menggunakan kaedah kempen pemasaran digital adalah sangat kritikal untuk semua usahawan.

Ia bukan semata-mata untuk mendapatkan jualan. Ia boleh digunakan bagi meningkatkan kesedaran jenama (brand awareness), mengumpul pelanggan baru, mengekalkan pelanggan yang sedia ada, dan paling penting, ia boleh digunakan untuk meningkatkan keuntungan serta mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

Jika kita mampu belajar dan buat sendiri, itu lebih bagus, namun jika tidak mampu, bolehlah mengupah khidmat pakar. Yang penting, kita guna pemasaran digital.

Jika anda mengalami masalah pembayaran hutang atau ingin merancang lebih teliti kewangan perniagaan, anda boleh dapatkan bantuan AKPK.

Dapatkan bantuan awal daripada AKPK sekiranya sudah timbul tanda-tanda bayaran pembiayaan perniagaan akan tertunggak. Dan, jika sudah tertunggak, bantuan tetap ada disediakan.

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan perusahaan mikro yang menghadapi masalah bayaran balik pembiayaan perniagaan dengan institusi kewangan boleh mendapatkan bantuan AKPK untuk penstrukturan atau penjadualan semula pembiayaan tersebut melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) di pautan https://www.akpk.org.my/sdrs.

PKS juga menyalurkan permintaan kepada bank untuk apa-apa bantuan bayaran balik pembiayaan perniagaan yang diperlukan melalui Meja Bantuan PKS AKPK di pautan : https://akpk.org.my/my/mejabantuanpks.

Selain itu, AKPK juga menyediakan pendidikan kewangan untuk PKS merancang dan mengurus kewangan perniagaan mereka.



Puan Ainon Mohd merupakan Pengerusi bagi Kumpulan Syarikat PTS Media Group Sdn. Bhd., salah sebuah syarikat penerbitan buku terbesar di Malaysia.

Beliau juga merupakan Pengasas Ainon Business School yang mempunyai 500,000 followers yang terdiri daripada orang-orang bisnes di Facebook.

Beliau juga aktif berkongsi sehingga 10-15 tip ‘bisnes’ setiap hari di laman Facebook milik beliau. Untuk tip-tip ‘bisnes’ yang bermanfaat, anda boleh ‘follow’ beliau di sini.




Penulisan dalam artikel ini ialah pendapat penulis semata-mata dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).